Please Wait
14561
Manusia dapat mengenal Tuhan melalui berbagai-bagai jalan. Makrifat ini mungkin dicapai melalui jalan akal atau jalan hati. Terkadang sebagaimana yang dilakukan para philosofi yang mana untuk mencapai tujuannya mereka akan berargumen melalui jalan ilmu Husuli –ilmu yang dihasilkan melalui jalan pancaindera- dan dengan menggunakan bantuan deria dan akal. Dan kadang-kala para urafa, melalui jalan ilmu Hudhuri –ilmu yang dihasilkan tanpa menggunakan deria pancaindera- melihat Sang kekasih dan menyaksikan-Nya (syuhud). Contohnya untuk memahami kewujudan api, terkadang mungkin melalui asap yang naik berkepul-kepul sehingga wujud api dapat difahami. Dan tatkala menyaksikan api itu sendiri, maka ia akan mengetahui tentang keberadaan api itu dihadapan matanya, dan ketika dengan terbakarnya sebahagian dari badannya dalam api, ia dapat menemukan dan merasakan kewujudannya.
Bagaimanapun, dalam dua metod ini; iaitu ilmu Husuli dan ilmu Hudhuri, kadang-kala jalan, metod dan tujuan adalah satu seperti seseorang dengan mengkaji ayat-ayat Ilahi dan sistem yang berlaku pada ayat-ayat (alam semesta) tersebut ia boleh sampai kepada Tuhan. Dan kadang-kala ia tidak terjadi demikian, metod dan jalan yang sama atau jalan dan tujuan yang sama.
Di sana ketika seseorang dengan mengenal dirinya sendiri maka ia dapat sampai kepada Tuhan. Pengenalan ini termasuk pengenalan jenis kedua (Hudhuri). Dan tatkala seseorang merenung Asma' dan sifat-sifat Ilahi, ia mampu sampai kepada makrifat kepada Allah Ta'ala dan ini merupakan jenis pengenalan yang ketiga.
Dari tiga jenis pengenalan ini, di sana ketika jalan dan tujuan adalah sama dan manusia dapat menyaksikan hakikat dirinya yang hilang, sesungguhnya ia telah menemui nilai yang sangat tinggi. Kerana melihat dan rasa adalah tujuan. Dalam banyak ayat dan riwayat telahpun menjelaskan ketiga-tiga jalan ini, khususnya ditegaskan bahawa tiada yang lebih jelas dan lebih terang dari wujud Tuhan dan harus sampai kepada-Nya melalui-Nya (iaitu melalui jalan-jalannya atau ayat-ayat-Nya). Dia adalah cahaya dimana untuk memahami dan melihat-Nya tidak memerlukan selain-Nya. Dan sekiranya kita tidak dapat menyaksikan-Nya, hal itu dikeranakan tirai kelalaian telah menutupi wadi ilmu Husuli dan ilmu Hudhuri kita.
Kita tidak memiliki ilmu terhadap ilmu. Dan untuk mencapai pada ilmu rangkapan ini, maka kita harus menjauhkan segala tirai kegelapan (zhulmani) dan cahaya (nurani) dari diri sendiri. Dan atas alasan ini dikatakan bahawa mengenal Tuhan adalah merupakan perkara fitrah, dan dalil-dalil yang ditegakkan untuk membuktikan keberadaan dan mengenal Tuhan adalah semata-mata satu peringatan dan bukan satu pengetahuan yang diawali dengan ketidaktahuan dan kebodohan. Namun harus diperhatikan di sini bahawa zat Tuhan, bukanlah sesuatu yang boleh difahami oleh para philosof dan juga bukan sesuatu yang boleh disaksikan oleh kalbu (syuhud) para urafa'. Selain zat Ilahi, di samping ia dapat difahami, juga dapat disaksikan.
Untuk menjawab pertanyaan ini, harus dijelaskan dua perkara berkenaan alat-alat pengenalan.
Alat-alat pengenalan adalah seperti berikut: deria, akal, dan hati (kalbu).
Deria zahiriah (pancaindera) hanya berhubung-kait dengan hal-hal yang zahir dan sesuatu yang bersifat menempel kepada sesuatu (bukan zat), dan tidak mampu menembusi lebih dari itu. Meskipun ia -ilmu yang zahir- berkembang dengan pesat dan dapat memberi pengetahuan yang banyak kepada manusia, tetapi ia terbatas dari sudut ruang dan waktu.
Akal adalah satu tenaga yang khusus yang mana peranannya yang paling asas adalah memahami fahaman-fahaman yang bersifat universal. Dan dengan pengertian ini, ia mempunyai peranan-peranan sangat banyak yang mana di antara peranan tersebut adalah berargumentasi.
Namun alat-alat pengenalan tidak terbatas pada dua perkara ini sahaja, bahkan manusia dapat menghasilkan pengetahuan yang lebih agung menerusi jalan hati dan kalbu. Mereka dapat menyaksikan sesuatu yang difahami oleh orang lain melalui jalan argumentasi. Jalan para Urafa' mengenal Tuhan adalah melalui jalan ini.[1]
Dari sudut lain, dalam satu klasifikasi yang universal, makrifat samada Husuli, atau Hudhuri, atau Syuhudi.
Pengetahuan Husuli diperolehi melalui jalan pemahaman-pemahaman –comprehension- minda dengan memperhatikan kepada argumentasi-argumentasi rasional dan falsafah. Pengetahuan Hudhuri pula adalah suatu pengetahuan yang tidak memerlukan perantara makna, pemahaman - comprehension – dan gambaran mental yang mana hakikat wujud objek –معلوم – hadir di sisi a'lim. Pengetahuan Hudhuri terdiri sebagai salah satu dari pengetahuan irfani dan syuhudi dimana realiti luaran sesuatu dapat di saksikan oleh penyaksi.
Pastinya dalam pengenalan Husuli (rasional), mukaddimah-mukaddimah deria dan experiment dapat juga digunakan. Misalnya dengan jalan berfikir pada tanda-tanda Tuhan atau sistem yang berlaku di alam semesta, akan sampai kepada pengenalan Tuhan dengan sekadar mengenegahkan argumen-argumen yang sederhana sahaja. Akan tetapi jika manusia ingin mengenal lebih jauh lagi, maka ia harus memanfaatkan mukaddimah-mukaddimah akal yang murni (pure reason).
Walaubagaimanapun, harus diperhatikan di sini bahawa, pertama: berdasarkan kajian-kajian makmal dan hasil-hasil kajian saintifik –experiment- yang murni bahawa keberadaan atau ketiadaan Tuhan tidak dapat dibuktikan.[2] Hal itu dikeranakan pengaruh experiment deriawi sangat pendek untuk dapat sampai kepada masalah metafisika. Oleh kerana itu, pengenalan saintifik sahaja tidak mampu untuk memberikan jalan keluar, bahkan muqaddimah-muqaddimah argument -istidlal- perlu juga dipraktikkan. Kedua: walaupun dalam teks-teks Islami dianjurkan supaya menelaah ayat-ayat afaqi.[3] Dan dari sisi lain, lantaran argumentatifnya metod ini, maka ia dipandang sebagai pengenalan rasional atau aqli. Namun tidak seharusnya kita lalai dari noktah ini bahawa menelaah atau merenung akan makhluk-makhluk, kesan-kesan ciptaan dan kebijaksanaan Ilahi, hanya dapat menunjukkan pada aspek yang mana terdapat kuasa dan kebijaksaan yang memutar-mutarkan alam semesta ini, tetapi bagaimana sifatNya, apakah Dia mandiri pada dzat-Nya atau …tidak dapat diperoleh melalui jalan ini.
Adapun pengenalan Hudhuri dapat diklasifikasikan ke dalam tiga jenis:
A. Ilmu Hudhuri sebab -cause- kepada akibat.
B. Ilmu Hudhuri suatu yang nonmaterial (mujarrad) pada dzatnya.
C. Ilmu Hudhuri akibat kepada sebab.
Ilmu Hudhuri kewujudan -makhluk- kepada Tuhan tidak termasuk dua ketogori pertama tadi dan ia termasuk pada ketogori ketiga. Manusia berdasarkan pada kekurangan dan keterbatasannya, tidak mampu untuk memahami Tuhan, walaupun Zat Allah Swt amat dekat kepada segala sesuatu, namun yang lain kerana keterbatasan dan kekurangan yang dimilikinya, maka tingkat kedekatan dan kejauhan kepada-Nya berbeza-beza.
Muhaqqiq Syeikh Nasiruddin Thusi Ra telah menyebutkan sebuah contoh yang menarik berkenaan tingkatan-tingkatan makrifat. Berkata: "Tingkatan pengenalan Tuhan laksana tingkatan pengenalan api dimana serendah-rendah peringkat ilmu berkenaan api adalah mendengar sifat-sifat api dari seseorang, dan peringkat kedua adalah ilmu yang dihasilkan ketika melihat asap api, dan peringkat ketiga adalah merasakan kepanasan dan cahaya api, dan peringkat terakhir adalah terbakar dan lebur menjadi debu dalam api".[4]
Seperkara yang perlu disebutkan di sini bahawa dalam perbahasan pengenalan dari sudut sesuatu yang berkaitan dengannya, iaitu kadang-kala ia berhubung tentang pembuktian keberadaan Tuhan, dan kadang-kala ia berkait tentang ciri-ciri wujud-Nya, yang mana pada kedua-dua gambaran ini, manusia boleh menggunakan jalan pemikiran dan juga boleh dari jalan kalbu. -Iaitu- juga dapat menggunakan ilmu Husuli dan lantas dapat memahaminya dan juga dapat menggunkan ilmu Hudhuri dan lantas dapat menyaksikannya.
Yang pertama disebut sebagai “Burhan” (argumen) dan yang kedua disebut “Irfan”, akan tetapi argumen philosofis yang biasa digunakan tidak setaraf dan senilai dengan temuan-temuan irfani.
Bagaimanapun, baik melalui jalan akal mahupun jalan kalbu, seseorang itu boleh sampai kepada pengenalan Tuhan melalui tiga jalan. Dengan kata lain, perjalanan spiritual para salik atau pemahamam rasional kaum philosof yang bergerak dalam sesuatu perjalanan dan sampai kepada matlamatnya tidak akan keluar dari tiga kondisi:
1. Pejalan atau pesuluk (salik), jalan (maslak) dan tujuan (maslukun ilaihi) saling berbeza antara satu sama lain. Misalnya manusia dengan menelaah dan menyaksikan keteraturan dan sistem yang berlaku di alam semesta, yang mana semuanya memerlukan dan bersandar kepada Zat Yang Tak-memerlukan. Dan bahawa alam semesta memiliki permulaan, akan sampai kepada tujuan dan ayat-ayat al-Qur’an mengajak manusia kepada jalan ini.[5]
2. Pesuluk adalah jalan itu sendiri, misalnya seseorang menelaah tentang alam batin dan bertanya siapa sebenarnya saya? Saya berasal dari mana dan mengapa segala kehendak dan kemahuan saya di luar kuasa saya? Mengapa saya tidak mampu menundukkan taman kalbu saya, supaya kenangan tidak memenuhi benak kalbu saya tanpa izin saya? Ia dengan jalan ini akan sampai kepada Tuhan.
Berkenaan jalan ini, Imam Ali As berkata: “Aku mengenal Tuhan dengan melemahnya iradah-iradah yang kukuh, terungkainya masalah-masalah sulit, dan gagalnya segala keputusan.”[6] Atau "Barang siapa mengenal dirinya maka ia mengenal Tuhannya.” [7]
Atau dalam al-Qur’an disebutkan bahawa: “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu semua kembali, lalu Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Qs. Al-Maidah [5]:105).
Jalan ini lebih dalam dan lebih berfaedah dari jalan pertama.
3. Jalan adalah matlamat atau tujuan itu sendiri. Ertinya pejalan -salik- yang merupakan seorang arif atau tokoh ilmuan, dengan ketelitian pada tujuan (maqsad), ia akan menemukan apa yang diinginkan (maqsud). Jalan ini adalah merupakan jalan yang paling dalam kerana telah melewati tingkatan sair afaqi dan anfusi.
Dan dengan teliti pada menyaksikan yang mutlak, ia akan memahami bahawa penyaksi mutlak adalah Tuhan. Firman Allah Swt, “Dan apakah Tuhan-mu tidak cukup (bagimu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?” (Qs. Fusshilat [41]:53).
Pertama, Dia yang disaksikan dan dikenali lalu kemudian segala sesuatu yang lain dan dunia tanpa batasan. Kerana Dia adalah Cahaya tujuh petala langit dan bumi. Zat Ahadiyat –Yang Maha Esa-, adalah sebaik-baik bukti dan saksi atas diri-Nya sendiri, sedemikian sehingga tidak memerlukan perantara untuk mengenal-Nya. Firman Allah Ta'ala: “Rasul-rasul mereka berkata, “Apakah ada keragu-raguan tentang Allah, pencipta langit dan bumi?” (Qs. Ibrahim [14]:10). Dan firman-Nya: “Allah adalah cahaya seluruh langit dan bumi.” (Qs. Al-Nur [24]:35). Oleh kerana itu, Allah Swt berfirman kepada Nabi-Nya, “(Dikatakan kepadanya), “Sesungguhnya kamu lalai tentang (hal) ini, lalu Kami singkapkan darimu tirai (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam.” (Qs. Qaf [50]:23).
Imam Husain As dalam doa Arafah telah menjelaskan jalan ketiga ini dan bersabda: “Tuhanku apakah selain-Mu terdapat pancaran sehingga ia menerangi-Mu. Dan (apakah) Engkau tidak memiliki cahaya (zhuhur) sehingga yang lain itu menerangi-Mu. Bilakah Engkau tiada sehingga memerlukan penunjuk dan bilakah Engkau jauh sehingga ciptaan dan seluruh makhluk-Mu mendekatkan kami kepada-Mu.”[8] Engkau tidak jauh sehingga aku harus mencari-Mu. Engkau tidak gaib sehingga aku harus menampakan-Mu. Butalah mata-mata yang tidak melihat-Mu.. Dari-Mu wahai Tuhanku, aku ingin menjalinkan hubungan dengan-Mu, dan aku menginginkan wujud-Mu menjadi tanda sebagai petunjuk bagi keberadaan-Mu".
Dalam ucapan ini, dijelaskan bahawa bagi pesuluk, Allah Swt lebih terang bercaya dari tujuh petala langit dan bumi. Imam Shadiq As mengisyarahkan kepada noktah ini, berkata: “Barang siapa wujud di alam luaran –eksternal-, pertama ia harus mengetahui dirinya sendiri dan kemudian sifat-sifatnya. Akan tetapi, pengenalan sifat yang ghaib mendahului zatnya sendiri… Sebagaimana saudara-saudara Yusuf berfikir tentang diri Yusuf sendiri dan kemudian mengenalinya, “Mereka berkata, “Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?” (Qs. Yusuf [12]:90). Ertinya mereka merenungi sifat-sifat Yusuf terlebih dahulu dan kemudian tahu bahawa dia adalah Yusuf. Mereka memahami hal ini dengan cara berfikir dan merenung dan bukan dengan bertanya dari orang lain.”[9]
Dengan memperhatikan penjelasan-penjelasan ini, telah jelaskan melalui argumentatif bahawa makhluk-makhluk adalah merupakan realiti-realiti yang bergantung secara mutlak kepada Wajib –Tuhan-. Apabila tidak demikian, maka hal itu meniscayakan zat makhluk tersebut kaya (tak memerlukan) dalam dzatnya sendiri. Dan sebagai kesimpulannya, zat mereka menjadi wajibal wujud (tidak memerlukan yang lain dan ada zatnya adalah wajib) dan hal ini jelas kebatilannya. Oleh kerana itu, hakikat wujud makhluk bergantung sepenuhnya kepada Zat Tuhan, dan mustahil dapat menyaksikan wujud yang bergantung tanpa melihat tempat ia bergantung. Ertinya memahami secara mandiri akan makhluk (yakni hanya mengetahui wujudnya sendiri sebagai suatau reality, tanpa mengetahui penciptanya) adalah mustahil.
Oleh yang demikian, setiap objek yang difahami, walau sekalipun ia adalah wujud material, disebabkan hakikat wujudnya adalah hakikat yang bersandar atau bergantung kepada mabda' -Pencipta-, maka memahami kewujudannya akan disertai dengan kefahaman wujud penciptanya iaitu Allah Ta'ala.”[10]
Namun ilmu terbagi menjadi dua bahagian; ilmu tunggal (basith) dan ilmu berangkap (murakkab). Sebagaimana kejahilan juga terdiri dari dua jenis, iaitu kejahilan tunggal (basith) dan berangkap (murakkab).
Ilmu basith adalah pengetahuan terhadap satu persoalan tanpa melalui pengetahuan kedua yang lain. Ilmu murakkab (rangkap) adalah ilmu yang didapatkan melalui perantaraan ilmu kedua yang lain. Iaitu seseorang mengetahui bahawa ia mengetahui. Dan kita yakin bahawa pengenalan kepada Tuhan bagi setiap orang memanfaatkan deria pemahaman, baik samada pemahaman tersebut adalah pemahaman Husuli atau Hudhuri , tanpa memerhatikan sesuatu yang berhubungan dengan pemahaman tersebut, adalah sebuah perkara yang pasti.
Ertinya tatkala manusia memahami sesuatu melalui ilmu Husuli mahupun ilmu Hudhuri, secara lansung ia telah memahami Tuhan Yang Maha Tinggi.[11] “Ma’ruf ‘inda kulli jahil.” (Yang dikenal di sisi orang yang jahil)[12] sehinggakan orang-orang yang sangsi, sebelum ia melihat keraguannya, ia telah melihat Tuhan, ini kerana Tuhan adalah sebab -cause- kepada keraguannya, dan keraguannya juga adalah hakikat yang bergantung kepada Tuhan.
Benar, sebahagian orang tidak memiliki ilmu terhadap ilmu (ilmu marakkab) dan lalai dari pemahaman yang jelas ini. Apabila Imam Ali bersabda: “Tiada sesuatu yang aku saksikan melainkan aku melihat Allah sebelumnya.”[13] atau “Aku tidak menyembah Tuhan yang tidak aku lihat.”[14] Maka hal itu dikeranakan Imam Ali As telah memiliki ilmu terhadap ilmu. Imam Ali telah sampai kepada hakikat ini sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an “Maka ke arah mana pun kamu menghadap, di situlah terdapat “wajah” Allah” (Qs. Al-Baqarah [2]:115).
Wajah tidak mungkin akan dapat disaksikan tanpa menyaksikan terlebih dahulu pemilik wajah.
Dia adalah seorang arif yang mana dengan "kematian ikhtiari" (kematian iradah sendiri dan akur di bawah iradah Ilahi), sekarang menyaksikan bahawa segala sesuatu selain Allah adalah tersembunyi dan hanyalah Sang Pencipta sahaja yang tampak benderang. Atas alasan inilah Imam Ali bersabda, “Lau kusyif al-ghitâ maa azdadtu yaqinân” (Sekiranya tirai tersingkap maka keyakinanku tidak akan bertambah).[15]
Sesuatu yang menjadi penghalang untuk memahami dan menyaksikan disebut sebagai hijab (tirai). Dan hijab, samada ia sesuatu yang gelap atau sesuatu yang bercahaya. Hijab yang gelap adalah hijab material yang terdiri dari tiga hal: mahjub (yang terhijab), hajib (yang menutupi) dan mahjub ‘anhu (yang terhijab darinya). Namun pada hijab yang bercahaya tidak lebih dari dua perkara, iaitu: mahjub dan mahjub ‘anhu. Dan hijab yang terakhir ini dikeranakan kekuatan sinaran cahaya mahjub ‘anhu. Atau dengan ungkapan yang lebih baik adalah kelemahan mahjub. Misalnya terkadang seorang manusia tidak dapat melihat matahari kerana ada dinding atau debu yang menghalangi. Dan terkadang kerana kekuatan cahayanya yang sangat tinggi atau kerana kelemahan pandangannya, maka mereka tidak dapat melihat cahaya matahari.
"Hijab pada dirimu juga pada dirimu di setiap keadaan
Tersembunyi dari mata alam semesta yang nampak benderang"
Diantara Pencipta dan seluruh makhluk-Nya tiada hijab selain makhluk itu sendiri.[16] Apabila manusia mampu menyingkirkan segala hijab zhulmani (kegelapan), sifat ego, dan hawa nafsunya, maka ia masih harus berusaha menyingkap hijab nurani (cahaya). Oleh itu, dalam munajat Sya’baniyah kita memohon kepada Allah Swt untuk menyingkirkan hijab cahaya itu.[17] Dan tiada seorang pun selain Nabi Saw dan Ahlulbaitnya yang mampu menyingkirkan seluruh hijab cahaya tersebut. Namun tentu saja berkaitan dengan hakikat zat dan sifat Tuhan, seorangpun walau Nabi Saw itu sendiri tidak akan mampu untuk sampai kepadanya.[18] Dan (pada hakikatnya) wujud Nabi saw dan Ahlulbaitnya itu sendiri adalah hijab cahaya tersebut dari dapat menyaksikan hakikat Zat Ilahi. Dan faktor ini kerana makhluk itu sendiri tidak dapat keluar dari keterbatasan wujudnya, maka mereka menyaksikan Tuhan dari sudut pandang keberadaannya yang terbatas itu.
" عنقا شکار کس نشود، دام برگیر "
Dengan demikian, ilmu setiap orang yang berilmu berada dalam keterbatasan wujudnya, dan ukuran keteleraian hijab dan tirai itu berasal dari dirinya sendiri. Imam Ali As dalam menjelaskan masalah ini, bersabda: “Akal samasekali tidak mampu untuk sampai kepada hakikat dan sifat-sifat-Nya, dan pada sisi yang lain, tak seorangpun terhijab untuk mendapatkan pengetahuan yang cukup tentang-Nya.[19]
Ertinya dari satu sisi, seluruh makhluk di dunia ini adalah ayat-ayat Ilahi dan laksana cermin[20] yang menampilkan realiti yang benar dan setiap kewujudan tidak terpisah dari pemilik wajah (sosok yang berada di cermin itu). Dan kewujudan ini, bukanlah suatu realiti yang mandiri, bahkan ia semata-mata penampakkan keindahan pemilik wajah yang sebenar, walaupun anak kecil menyangka cermin itu sebagai kewujudan yang terpisah dan mandiri.
Dari sisi lain, sabda Imam Ali As: " لایدرکه بُعد الهمم و لایناله غوص الفطن". Iaitu: “Tidak dicapai oleh pemahaman akal para philosof, dan tidak digapai oleh penyaksian intuitif para arif.".[21]
Dzat-Nya tidak menjadi objek pemahaman rasional seorang philosof juga tidak menjadi objek penyaksian irfani seorang arif. Oleh kerana itu, pengetahuan manusia sentiasa disertai dengan pengakuan ketidakmampuannya.[22] Dan hal ini terkait dengan perbandingan ukuran yang tidak diketahui (majhul) kepada yang difahami (ma’lum) atau perbandingan ukuran tak terbatas (hakikat wujud Tuhan) kepada yang terbatas.
Noktah terakhir yang harus disebutkan di sini bahawa dalam banyak riwayat diceritakan tentang pengenalan yang bersifat fitrah. Pengenalan yang bersifat fitrah adalah jenis pengetahuan Hudhuri sebagaimana yang telah dijelaskan.
Fitrah manusia terbagi menjadi dua:
A. Pengenalan-pengenalan fitrah yang dimiliki manusia tanpa memerlukan pendidikan.
B. Kecenderungan-kecenderungan dan naluri-naluri fitrah yang merupakan tuntutan penciptaan setiap individu.
Yang pertama disebut sebagai "makrifatullah (pengenalan Tuhan) secara fitrah". Dan yang kedua dinamakan sebagai "penghambaan Tuhan secara fitrah. Namun sebagaimana yang telah disebutkan bahawa makrifatulah secara fitrah dan penghambaan secara fitrah bukan merupakan pengetahuan sistematik sehingga setiap orang awam tidak memerlukan lagi usaha rasional untuk mengenal Tuhan.
Akan tetapi, oleh kerana masalah makrifatullah bersifat fitrawi, maka dalil-dalil dan argumen-argumen tentang penegasan wujud Tuhan adalah bersifat peringatan (tanbih) belaka dan bukan ta'lil (argumentasi). Dalam masalah ta’lil, manusia mengetahui bahawa ia memperoleh sesuatu yang baru. Namun pada masalah tanbih, ketika manusia sampai kepada matlamatnya, dia akan menyendari bahawa apa yang ingin dibuktikannya itu telah ada bersamanya sejak dari awal lagi. Kerana itu, dalam pelbagai redaksi al-Qur’an dan riwayat-riwayat disebutkan tentang tersingkapnya tirai kelalaian. Iaitu satu jalan yang melepaskan manusia dari kelalaian dipanggil jalan peringatan (tanbih) dan bukan ta’lil.
Sumber-sumber Rujukan Perbahasan Ini Terdiri Dari:
A. Tahrir Tamhid al-Qawâid, Ayatullah Jawadi Amuli, hal. 722 – 785 dan 1 – 66
B. Rahiq Makhtum, Ayatullah Jawadi Amuli, bagian kedua dari jilid 1, hal. 188, 189, 193 dan 201
C. Tafsir Maudhu’i, Ayatullah Jawadi Amuli, jil. 1, hal. 162 – 175
D. Rahiq Makhtum, Ayatullah Jawadi Amuli, bagian ketiga, jilid 1, hal. 543
E. Mabâni Ma’rifat-e Dini, Muhammad Husain Zadeh, hal. 36 – 44
F. Al-Mizân, Allamah Thaba-thabai, jil. 6, hal. 86 - 105
G. Âmuzesy-e ‘Aqâid, Ayatullah Misbah Yazdi, hal. 35 – 62
H. Sairi dar Nahjul Balaghah, Syahid Muthahhari
I. Qur’ân wa Irfân wa Burhân az Hamdigar Judâi Nadârand, Ayatullah Hasan Zadeh Amuli, hal. 141 – 143
[1]. Meskipun berdasarkan nukilan (hadis) dapat sampai pada pengenalan namun terlebih dahulu nukilan tersebut harus dibuktikan dan setelah dibuktikan bahawa nukilan tersebut datang dari para maksum, maka barulah ia dapat menjadi ukuran kebenaran atau kesalahan bagi setiap pembuktian yang dihasilkan melalui jalan akal dan hati.
[2]. Syaikh Shaduq, al-Tauhid, hal. 293, bab hadits itsbat huduts ‘alam, hadits pertama .
[3]. “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap penjuru dunia dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur’an itu adalah benar. “ (Qs. Al-Fusshilat [41]:53)
[4]. Allamah Hasan Zadeh Amuli, Liqâ’ Allâh, hal. 26 & 27.
[5]. “Musa berkata, “Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada makhluk-Nya segala sesuatu (yang mereka inginkan), kemudian memberi petunjuk kepada mereka.” (Qs. Thaha [20]:50); “Dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk.” Qs. A’la [87]:3); “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Qs. Ali Imran [3]:190)
[6]. Nahjul Balaghah, Qishar al-Hikmah 250, terjemahan Muhammad Dasyti
[7]. Syarah Ibnu Abil Hadid, jil. 20, hal. 29; Asrar al-Balaghah, hal. 88.
[8]. Mafatih al-Jinan, hal. 496
[9]. Tuhaf al-Uqul, fii washf al-mahabbah
[10]. Asfar, jil. 1, hal. 113 – 120
[11]. Laa yudriku makhluk syaian illa bilLah wa la tudriku ma’rifatulLah illa bilLah, al-Tauhid, sifat al-Dzat wa al-af’al, hadits 7, hal. 143. Makhluk tidak dapat memahami sesuatu kecuali melalui Tuhan, dan Tuhan tidak dapat dikenal kecuali dengan Tuhan.”
[12]. Al-Tauhid, bab al-Tauhid wa nafyi al-Tasybih, hadits 15, hal. 58, “Dia dikenal oleh sesiapa saja meski ia adalah orang yang banyak kejahilannya.”
[13]. “Maa raitu syaian illa wa raituLlah qablah,” Asfar, jil. 1, hal. 117.
[14]. “Maa kuntu a’bud rabban lam arahu.” Kâfi, jil. 1, bab ibthal al-Ru’yah, hadits 6; al-Tauhid, bâb mâ jâ’a fii al-Ru’yah, hadits 6.
[15]. شرح ابن میثم على المأة کلمة لامیر المؤمنین. Kalimat pertama: jika sekalipun hijab terurai, tidak bertambah satupun keyakinanku.
[16]. Imam Musa Kazhim As bersabda, “laisa baina subhanahu ta’ala wa baina khalqihi hijâbun ghaira khalqihi, al-Tauhid, hal. 179, bab nafyi al-makan wa al-zaman wa al-harakah anhu Ta’ala, riwayat 12.
[17]. “Wa anir abshâra qulubinâ bidhiyâi nazharihâ ilaika, hatta tahruqu abshâr al-qulûb hujub al-nur fathasilu I'la ma'dani al-a'zamah wa….” (Dan terangilah penglihatan kalbu kami dengan cahayanya melihat-Mu sehingga terbakar tirai-tirai cahaya dari penglihatan-penglihatan kalbu-kalbu, dan sampai kepada ma'dani al-a'zamah…
[18]. “Dan Allah memperingatkanmu terhadap diri-Nya.” (Qs. Ali Imran [3]:30)
[19]. Nahj al-Balâghah, khutbah 49
[20]. Imam Ridha As dalam pembahasan dengan ‘Imran Shabi bersabda, “Dia tidak berada dalam makhluk, juga makhluk tidak di dalam-Nya. Dia laksana cermin dimana anda tidak berada di dalamnya dan tidak cermin di dalammu. Dan cermin tidak seperti fatamorgana yang penampakan gambaran palsu dan merupakan realiti yang tidak lain kecuali mencerminkan pemilik paras yang sebenar.” Al-Tauhid, hal. 434 dan 435.
[21]. Laa yudrikuhu bu’d al-himâm wa laa yanâluhu ghaush al-fithan.” Nahj al-Balâghah khutbah pertama.
[22]. Maa ‘arafnaka haqqa ma’rifatik, Bihâr al-Anwâr, jil. 71, hal. 23, riwayat awwal. Demikian juga “maa ‘abadnaka haqqa ‘ibadatik, Mir’at al-‘Uqûl, jil. 8, hal. 146.