Carian Terperinci
Pengunjung
15056
Tarikh Kemaskini 2013/02/16
Ringkasan pertanyaan
Tolong jelaskan asas pemikiran Syiah dan ciri-cirinya?
soalan
Tolong jelaskan asas pemikiran Syiah dan ciri-cirinya?
Jawaban Global
Asas pemikiran Syiah dan seluruh sumber maʻārif (jamak bagi perkataan pengetahuan) Syiah adalah al-Qur'an. Syiah melihat seluruh zahir ayat-ayat Al-Qur’an, perilaku dan perbuatan, bahkan diamnya Nabi (s.a.w) sebagai hujjah. Selanjutnya Syiah juga memandang ucapan, perilaku dan diamnya para Imam Maksum juga sebagai hujjah. Di samping al-Qur'an menjelaskan hujjiyah (argumentatif) melalui logik akal, al-Qur'an juga menyokong jalan mukasyafah (penyingkapan) dan syuhūd (penyaksian) untuk meraup berbagai pengetahuan dan makrifat.
Asas pemikiran seperti ini dapat dirumuskan dengan beberapa perkara di bawah ini:
  1. Keyakinan terhadap keesaan Allah (s.w.t) dan kesucian-Nya dari segala kekurangan, serta seluruh sifat-Nya dihiasi dengan kesempurnaan.
  2. Keyakinan terhadap ḥusn dan qubḥ ʻaqlī (kebaikan dan keburukan yang ditimbang dalam pandangan akal) dan sesungguhnya akal memahami bahawa Allah (s.w.t) tidak akan mengerjakan perbuatan-perbuatan tercela dan buruk.
  3. Keyakinan terhadap kemaksuman pada para nabi Ilahi dan Rasulullah (s.a.w) selaku penutup kenabian.
  4. Keyakinan bahawa hanya Allah yang mengangkat khalifah Rasulullah melalui Nabi (s.a.w) atau imam sebelumnya. Jumlah khalifah Rasulullah (s.a.w) pula adalah dua belas orang di mana yang pertama adalah Ali bin Abi Thalib dan yang terakhir adalah Imam Mahdi (a.j.f) yang kini hidup dan menantikan perintah Ilahi (bagi kemunculannya).
  5. Keyakinan terhadap kehidupan setelah kematian dan sesungguhnya manusia akan mendapatkan ganjaran atau balasan atas segala perbuatan yang dilakukannya di dunia.
Jawaban Detil
Untuk menjawab secara terperinci daripada pertanyaan ini kami perlu menyusun beberapa jilid kitab. Namun secara ringkasnya kami akan menyebutkan beberapa noktah di bawah ini:
  1. Sumber pertama mazhab Syiah dalam meraih pengetahuan
Sumber pertama yang dijadikan sandaran oleh mazhab Syiah adalah al-Qur'an. Al-Qur'an merupakan keterangan dan bukti pasti tentang kenabian Rasulullah (s.a.w) secara umum dan abadi. Kandungan-kandungannya adalah seruan kepada Islam. Namun menjadikan Qur'an sebagai sumber pertama tidak bermakna menafikan sumber-sumber dan hujjah-hujjah yang lain. Kecuali sebagaimana yang akan kami jelaskan bahawa al-Qur'an sendiri menjelaskan sumber-sumber yang lain.
 
  1. Jalan-jalan yang diperkenalkan al-Qur'an untuk pemikiran Mazhab
Menerusi ajaran-ajaran Al-Qur'an, jelaslah terdapat tiga jalan bagi kaum Muslimin untuk sampai dan mengamati matlamat-matlamat agama dan maʻārif Islam
  1. Hal-hal Lahir pada Agama
Kita melihat penjelasan-penjelasan al-Qur'an menjadikan seluruh manusia sebagai objek pembicaraan. Kadang-kadang al-Qur'an tidak menggunakan argumentasi dalam penyampaiannya dan hanya bersandar pada firman-firman Allah (s.w.t) untuk mengajak manusia menerima asas-asas agama: seperti tauhid, kenabian, ma'ād. Begitu juga dengan hukum-hukum praktikal seperti perintah solat, puasa dan sebagainya, begitu juga larangan sebahagian perbuatan. Sekiranya penjelasan-penjelasan ayat al-Qur'an ini tidak dipandang sebagai hujjah maka sudah tentu al-Qur'an tidak sekali-kali meminta manusia untuk menerima dan mentaati seruan-seruannya.
Namun oleh kerana hal-hal zahir pada agama tidak terbatas pada ayat-ayat al-Qur'an, bahkan penjelasan-penjelasan, perbuatan dan diamnya (taqrir) Rasulullah (s.a.w) berdasarkan pada ayat-ayat zahir al-Qur'an itu dapat dipandang sebagai hujjah. "Laqad kāna lakum fī RasuliLlah uswatun Ḥasanaḥ." (Sesungguhnya pada diri Rasulullah terdapat teladan, Surah Al-Ahzab [33]:21)
Demikian juga melalui riwayat mutawatir daripada Rasulullah (s.a.w) yang menegaskan bahawa ucapan, perbuatan dan diamnya Ahlulbaitnya (para Imam Maksum a.s) adalah seperti ucapan, perbuatan dan ikrar Rasulullah (s.a.w) sendiri.
Mengenai hadis-hadis yang dinukil daripada sahabat pula, selagi sesuai dengan ucapan atau perbuatan Nabi (s.a.w) dan tidak bertentangan dengan hadis Ahlulbait, maka hadis-hadis tersebut dapat diterima. Tetapi apabila hadis yang memuatkan pendapat peribadi sahabat tidak dapat dijadikan sebagai hujjah dan hukum yang dikeluarkan oleh sahabat adalah seperti hukum biasa yang dikeluarkan kaum Muslimin secara umum. Hal yang dapat dijadikan bukti bagi kita ialah sahabat sendiri melakukan perbuatan seperti ini bersama sahabat yang lain.
 
  1. Pendalilan akal
Kebanyakan ayat-ayat Al-Qur'an menyatakan manusia harus dibimbing kepada rasional dan menyeru manusia untuk berfikir, berintelektual, merenungi ayat-ayat āfāq dan anfus. Al-Qur'an sendiri melakukan pendalilan rasional untuk menyingkap berbagai realiti dan hakikat.  Al-Qur'an tidak berkata bahawa pertamanya hendaklah menerima kebenaran maʻārif Islam. Kemudian barulah menggunakan pendalilan dan menarik kesimpulan daripada argumen rasional yang diteliti serta maʻārif yang disebutkan. Bahkan kepercayaan yang benar-benar sempurna pada realiti menyatakan: “Usunglah argumen dan dari situ engkau akan menemukan dan menerima kebenaran maʻārif yang disebutkan”. Bukannya pertama berimanlah kemudian menyesuaikan dan melaraskannya dengan al-Qur'an barulah mengusung argumentasi serta dalil.
Argumentasi-argumentasi dan rasional akal yang digunakan manusia dengan fitrah untuk menetapkan dan membuktikan pandangan-pandangannya terdiri dari dua bahagian: Pertama, burhan (argumen) dan kedua jadāl (dialektik).
"Burhān" adalah argumen yang bersandar pada fakta dan realiti. Dengan kata lain, hal-hal yang dibangunnya dapat diterima dan dibenarkan oleh akal yang dianugerahkan Tuhan kepadanya. Sebagaimana kita ketahui bahawa bilangan tiga lebih kecil dari bilangan empat. Pemikiran seperti ini adalah pemikiran rasional. Apabila dipraktikkan pada hal-hal universal yang berkaitan dengan alam semesta seperti pemikiran tentang awal penciptaan, penghujung alam semesta dan penghuninya maka pemikiran seperti ini disebut sebagai pemikiran falsafah.
"Jadāl" (dialektik) adalah sebuah argumen yang diambil dari seluruh atau sebahagian hal-hal yang popular  (mashhūrāt) atau yang diterima secara umum (musallamāt). Sebagaimana hal ini digunakan oleh pemeluk agama-agama dan penganut mazhab-mazhab secara umum untuk membuat ketetapan pandangan-pandangan mazhabnya dengan kaedah-kaedah yang diterima secara umum. Al-Qur'an menggunakan kedua-dua jalan ini dan banyak ayat-ayat al-Qur'an yang menyebutkannya.
Pertama, al-Qur'an memerintahkan manusia untuk berfikir secara bebas mengenai perkara-perkara universal alam semesta, pengaturan seluruh semesta dan pengaturan khusus seperti langit, bintang, kitaran siang dan malam, bumi, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia. Al-Qur'an memuji penjelasan yang sangat diterima oleh akal.
Kedua, al-Qur'an memerintahkan manusia untuk berfikir dialektik yang umumnya disebut sebagai perbahasan teologi, dengan syarat ianya dilakukan dengan sebaik-baik model (untuk menyatakan kebenaran dengan baik tanpa disertai sikap keras kepala).[1]
 
Syiah terkedepan dalam pemikiran falsafah dan teologi Islam
Orang yang akrab dengan perbuatan-perbuatan sahabat Rasulullah (s.a.w), dapat mengetahui dengan baik bahawa di antara tinggalan para sahabat yang berada di tangan kaum Muslimin hari ini tidak ada satu pun warisan yang tergolong sebagai pemikiran falsafah. Namun dengan mudah kita menemui pernyataan-pernyataan menarik Amirul Mukminin mengenai teologi dengan penerangan pemikiran falsafah yang amat mendalam.
Para sahabat, tabi'in dan orang-orang Arab pada masa itu tidak seorang pun yang mengenal pemikiran falsafah yang bebas. Tidak satu pun contoh falsafah menarik yang ditemui daripada ucapan-ucapan ulama yang hidup di dua abad pertama Hijrah. Satu-satunya penjelasan falsafah yang mendalam hanya dapat ditemui pada imam-imam Syiah, terutamanya Imam pertama dan Imam ke-lapan Syiah di mana mereka ini memiliki khazanah pemikiran-pemikiran falsafah yang tidak terhad. Mereka jua yang memperkenalkan pemikiran-pemikiran falsafah ini kepada sekelompok murid mereka.
Walaupun pemikiran falsafah menjadi masyhur pada awal-awal abad ketiga Hijrah seiring dengan penerjemahan kitab-kitab falsafah Yunani di kalangan kaum Muslimin, namun di kalangan majoriti Ahlusunnah tidak bertahan lama hingga abad ketujuh, setelah kewafatan Ibnu Rusyd Al-Andalusia, falsafah juga mengalami nasib yang sama. Tidak sama dengan apa yang terjadi dikalangan Syiah, falsafah tidak pernah berakhir sedetikpun. Faktor yang paling berpengaruh dalam proses pemeliharaan model pemikiran ini di kalangan Syiah adalah khazanah ilmu yang diwarisi oleh para Imam Syiah. Untuk menjelaskan masalah ini cukuplah kita membandingkan khazanah keilmuan Ahlulbait dengan kitab-kitab falsafah yang ditulis sepanjang perjalanan sejarah; Ini disebabkan kita akan mendapati dengan jelas bahawa hari demi hari falsafah semakin dekat dengan khazanah ilmu tersebut sehingga abad kesebelas Hijriah, di mana ianya selaras antara satu sama lain dan tidak ada lagi rintangan jarak kecuali pada ungkapan-ungkapan dan masalah redaksi sahaja.
 
  1. Penyingkapan (mukāshafah) dan Penyaksian (syuhūd)
Al-Qur'an memberikan penerangan yang menarik tentang seluruh maʻārif yang bersumber dari konsep tauhid dan hakikat sebenar ilmu mengenal Tuhan. Monotheisme yang sempurna berasal dari orang-orang yang telah melupakan dirinya dan mengerahkan seluruh anggota dirinya untuk menghadap alam yang tinggi. Dengan keikhlasan dan penghambaan, ia mencerahkan pandangannya dengan cahaya Tuhan dan dengan mata yang realistik ia menyaksikan seluruh hakikat segala sesuatu, malakut langit dan bumi. Melalui "keikhlasan dan penghambaan" serta iman yang kuat, malakut langit dan bumi serta kehidupan abadi akan tersingkap baginya.
Dengan memperhatikan ayat-ayat al-Qur'an berikut maka dakwaan ini akan menjadi jelas:
"Dan sembahlah Tuhanmu sampai keyakinan (ajal) datang kepadamu." (Surah Al-Hijr [15]:99)
"Sungguh kamu benar-benar akan melihatnya dengan ainul yakin." (Surah Al-Takatsur [102]:5-6)
"Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Surah Al-Kahf [18]:110)
 
Irfan Syiah
Pertama, sumber kemunculan Irfan dalam Islam harus dilihat pada akar umbi penjelasan-penjelasan Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib (a.s) yang amat fasih dalam masalah hakikat-hakikat irfan dan tingkatan-tingkatan kehidupan maknawi di mana hal ini menjadi khazanah tak-terbatas kemudian mewariskan maʻārif ini kepada umat manusia.
Kedua, amalan tuntutan-tuntutan syariat dalam sair dan sulūk serta menyelaraskan sair dan suluk dengan peraturan-peraturan syariat merupakan faktor yang paling penting dalam menjaga irfan Syiah dari berbagai penyimpangan pemikiran dan moral.[2]
 
  1. Persembahan pemikiran Syiah dalam daerah Teologi
Apa kami jelaskan hingga kini adalah mengenai pemikiran Syiah secara ringkas. Namun hadiah dan persembahan pemikiran seperti ini sangatlah luas pada tahap praktikal dan keyakinan. Bahkan untuk menyebut judul-judul dan sub-judul juga menjadi sangat panjang. Kerana itu di sini kita hanya akan menyebutkan sebahagian judul dan sub-judul berbagai persembahan pemikiran Syiah pada daerah teologi (kalam) dan kami akan tempatkan perbahasan yang lebih terperinci dan jelas mengenai persembahan pemikiran Syiah dalam daerah teologi dan fiqh pada kesempatan akan datang:
  • Keyakinan terhadap kewujudan Tuhan merupakan konsep yang diterima secara umum oleh agama-agama Ilahi dengan banyak jalan argumentasi dan rasional yang dikemukakan berikaitan dengan masalah ini.
  • Tingkatan pertama tauhid adalah tauhid dhāti dan sebagai ikutannya adalah tauhid perbuatan. Ertinya Allah (s.w.t) itu Esa dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Dzat-Nya adalah basīṭ dan bukan rangkaian. Rangkaian rasional dan luaran (khariji) tidak terjadi pada zat-Nya. Zat Tuhan terhias dengan seluruh sifat kesempurnaan dan jauh dari segala cacat cela dan kekurangan. Sifat-Nya bukan merupakan tambahan bagi Dzat-Nya. Dalam mengerjakan segala urusan-Nya, Dia tidak memerlukan sesuatu atau siapa pun. Tidak satu pun entiti dan maujūd yang dapat memberikan bantuan kepada-Nya.[3]
  • Alam semesta tidak memiliki pemelihara dan pengatur selain Tuhan. Sementara itu pengatur-pengatur yang lainnya seperti para malaikat hanya dapat menunaikan tugas tatkala mendapatkan izin daripada Allah (s.w.t).
  • Tauhid dalam ibadah merupakan konsep yang dianuti secara umum di kalangan seluruh syariat-syariat samawi. Tujuan diutusnya para nabi adalah mengingatkan dan menegaskan konsep ini.
  • Keyakinan terhadap syafaat dan tawassul. Sesuai dengan ajaran-ajaran al-Qur'an kedua-duanya tidak bertentangan dengan ajaran tauhid dan tidak termasuk sebagai perbuatan syirik.
  • Keyakinan terhadap ḥusn dan qubḥ ʻaqlī (perbuatan baik dan buruk yang ditimbang dengan akal). Hal ini menegaskan bahawa akal manusia dapat memahami bahawa Allah (s.w.t) sekali-kali tidak akan mengerjakan perbuatan buruk lagi tercela dan dan segala sifat aniaya dinafikan daripada-Nya.[4]
  • Keyakinan terhadap husn dan qubḥ ʻaqli memiliki hasil yang banyak di mana salah satu hasilnya adalah keyakinan terhadap keadilan (ʻadālah). Keadilan itu sendiri memiliki cabang dan banyak bahagian: misalnya keadilan Tuhan (di mana keyakinan terhadap keadilan Tuhan membuka gerbang-gerbang maʻārif, menyelesaikan berbagai  masalah teologi) kemestian adilnya seorang mujtahid, para hakim dan pemimpin politik dan sosial, imam jemaah, kesaksian di pengadilan dan sebagainya.
  • Keyakinan terhadap "amr baina al-amrayn" dalam pembahasan jabr dan ikhtiyār.[5]
  • Kehendak Ilahi yang penuh hikmah menuntut manusia sampai pada kesempurnaan maka Allah mengutuskan para nabi kepada manusia dan tidak memandang bahawa peranan akal memadai dalam membimbing manusia mencapai tujuan-tujuan penciptaan yang tinggi.
  • Para nabi terpelihara dan terjaga dari kesalahan yang disengaja ataupun tidak, ketika dalam proses penerimaan dan penyampaian wahyu kepada umat manusia.
  • Para nabi Allah terpelihara dari segala jenis dosa dan perbuatan tercela.
  • Nabi Muhammad (s.a.w) merupakan nabi terakhir dari silsilah kenabian di mana kenabiannya disertai cabaran dengan mukjizat abadinya.
  • Ajaran Islam merupakan ajaran universal yang bersifat semesta bukan bersifat tempatan dan kedaerahan, atau kesukuan.
  • Nabi Muhammad (s.a.w) adalah Nabi terakhir, kitabnya merupakan penutup kitab-kitab dan syariatnya juga merupakan syariat terakhir dari silsilah syariat samāwī.
  • Kitab samāwī kaum Muslimin terjaga dari segala jenis penyelewengan, tiada sesuatu pun yang ditambahkan kepadanya juga tiada sesuatu yang dikurangi.
  • Kehendak Ilahi yang penuh hikmah menuntut Nabi (s.a.w) memperkenalkan imam dan pemimpin setelahnya dan baginda juga dengan menyatakan Ali bin Abi Thalib (a.s) sebagai khalifah sepeninggalannya dan Nabi (s.a.w) telah menunaikan tugas ini dengan baik dalam berbagai peristiwa.
  • Tugas imam setelah wafatnya Rasulullah (s.a.w) adalah: Menjelaskan al-Qur'an, menerangkan hukum-hukum syariat, menjaga masyarakat dari penyimpangan, menjawab seluruh pertanyaan yang berkaitan dengan agama dan keyakinan, melaksanakan keadilan di tengah masyarakat, membentengi pembatasan-pembatasan Islam daripada musuh-musuh.
  • Imam dan khalifah Rasulullah (s.a.w) dari sisi keilmuan dan akhlak sentiasa mendapat perhatian Ilahi dan berbagai pengajaran melalui bantuan gaib; ertinya seorang maksum seperti Rasulullah (s.a.w), harus terpelihara dari segala jenis kesalahan, kelupaan dan kelalaian serta dari berbagai dosa.  Atas dasar ini, hanya Tuhan sahaja yang dapat menentukan siapakah imam dan hal itu dilakukan melalui Nabi (s.a.w) atau imam sebelumnya.
  • Khalifah Rasulullah (s.a.w) adalah dua belas orang dan redaksi "itsna 'asyar khalifah" (dua belas khalifah) telah disebut dalam sumber-sumber kedua mazhab di mana khalifah pertamanya adalah Ali bin Abi Thalib dan khalifah terakhirnya adalah Imam Mahdi bin Hasan al-Askari (a.j.f).
  • Turutan nama-nama suci para imam dan khalifah Rasulullah (s.a.w) sebagai berikut: 1. Ali bin Thalib. 2. Hasan bin Ali. 3. Husain bin Ali. 4. Ali bin Husain. 5. Muhammad bin Ali. 6. Ja'far bin Muhammad. 7. Musa bin Ja'far. 8. Ali bin Musa. 9. Muhammad bin Ali. 10. Ali bin Muhammad. 11. Hasan bin Ali. 12. Muhammad bin Hasan (Imam Mahdi (a.j.f)).
  • Imam Keduabelas Imam Mahdi Mau'ud (yang dijanjikan) putra Imam Hasan Askari lahir pada tahun 255 Hijriah di Samarra (Irak) dan hingga kini masih hiup serta sedang menanti perintah Ilahi untuk bangkit (menegakkan pemerintahan berkeadilan). Pada zaman keghaiban Imam Mahdi (a.j.f) yang menjabat sebagai pemimpin pemerintahan Islam adalah walī faqīh.[6]
  • Di antara ciri-ciri pemikiran Syiah ialah terbukanya pintu ijtihad; ertinya dalam bidang fikah dan hukum-hukum praktikal, Syiah memandang bahawa penerapan kaedah-kaedah universal atas masalah-masalah partikular dan simpulan aturan-aturan syariat dari teks-teks agama tetap terbuka dan tidak terbatas pada apa yang dipahami oleh orang-orang terdahulu.
  • Kemunculan seseorang daripada keluarga Nabi (s.a.w) di akhir zaman untuk menegakkan keadilan dan membimbing manusia ke arah kesempurnaan yang sebenar merupakan salah satu keyakinan yang diterima dalam Islam di mana terdapat banyak hadis daripada kedua belah mazhab Syiah dan Sunni yang menegaskan hal ini. Bahkan kemunculan seorang penyelamat merupakan salah satu keyakinan agama-agama dan mazhab-mazhab yang ada di dunia hari ini seperti agama Kristian, Yahudi, Zoroastrian dan sebagainya.[7]
  • Keyakinan terhadap adanya rajʻah terhadap sebahagian orang yang akan kembali ke dunia setelah kematian mereka sebelum berlangsungnya peristiwa kiamat.[8]
  • Keyakinan terhadap kehidupan pasca kematian dan manusia memperoleh ganjaran atas amal baiknya dan hukuman atas amal buruknya di alam akhirat dan bahawa kematian bukanlah berakhirnya kehidupan. Bahkan dengan kematian manusia akan berpindah ke dunia yang lain dan melintasi terminal antara alam dunia dan alam akhirat yang disebut sebagai barzakh yang memiliki kehidupan, nikmat dan azab tertentu.[9] []
 

[1]. “Barang siapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Qs. Al-Isra [18]:114)
[2]. Untuk telaah lebih jauh, sila lihat: Allamah Thabathabai, Shiʻa dar Islam, hal-hal. 75-114.  
[3]. Untuk telaah lebih jauh, sila lihat Muhammad Taqi Misbah Yazdi, Amuzesy Aqaid, hal. 136-137.  
[4]. Untuk telaah lebih jauh, sila lihat Muhammad Taqi Misbah Yazdi, Amuzesy Aqaid, hal. 162-167.  
[5]. Untuk telaah lebih jauh sila lihat Indeks: Perkara di antara Dua Perkara, pertanyaan 58 (Site:294)
[6]. Untuk telaah lebih jauh dan mengetahui lebih mendalam hal ehwal Pemikiran Politik Syiah, sila lihat makalah-makalah tentang Wilayah Fakih pada laman web ini.  
[7]. Untuk telaah lebih jauh sila lihat Indeks: Imam Mahdi dalam Perspektif Syiah, pertanyaan 168 (Site: 1375)
[8]. Untuk telaah lebih jauh sila lihat Indeks: Apa yang dimaksudkan dengan Rajʻah? Siapakah yang dapat melakukan Raj'at?, pertanyaan 247 (Site: 1112)
[9]. Untuk telaah lebih jauh sila lihat, Ja'far Subhani, Mansyur-e Aqaid Imamiyah.
Terjemahan pada Bahasa Lain
Opini
Bilangan komen 0
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Pertanyaan-pertanyaan Acak

Populer Hits