Carian Terperinci
Pengunjung
9651
Tarikh Kemaskini 2011/08/20
Ringkasan pertanyaan
Jikalau telah jelas bahawa Tuhan tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar, lalu mengapakah Nabi Musa (a.s) bermohon kepada Tuhan untuk dapat melihat-Nya?
soalan
Jikalau telah jelas bahawa Tuhan tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar, lalu mengapakah Nabi Musa (a.s) bermohon kepada Tuhan untuk dapat melihat-Nya?
Jawaban Global

Ada dua jawapan yang dapat kami utarakan dalam menjawab pertanyaan di atas.

1.     Menurut pandangan teologi, adalah merupakan suatu hal yang telah diterima bahawa Tuhan bukanlah suatu Dzat yang dapat dilihat, maka harus dikatakan bahawa permintaan untuk dapat melihat Tuhan yang datang dari kaum Bani Israel, yang telah disampaikan oleh lisan Nabi Musa (a.s), kerana Bani Israel berkata: Kami tidak akan beriman sebelum kami melihat Tuhan dengan mata kami sendiri. Mereka mendesak Nabi Musa (a.s) untuk menyampaikan permintaan tersebut, dan Nabi Musa (a.s) juga menyampaikan apa yang mereka minta, agar mereka mendengar sendiri dari Tuhan bahawa Tuhan bukanlah suatu Dzat yang dapat dilihat.

2.     Menurut pandangan sebagian ulama dan para mufassir seperti Allamah Thabataba’i (rahmatullah alaih) permintaan Nabi Musa (a.s) tidak mungkin datang daripada kaumnya, bahkan Nabi Musa (a.s) harus gigih memberikan perlawanan kuat di hadapan kaumnya dan berkata bahawa Tuhan bukanlah suatu Dzat yang dapat dilihat, atau jika beliau menghendaki bahawa Tuhan sendiri yang menyampaikan persoalan ini kepada mereka, hal tersebut harus disampaikan sebagai berikut bahawa: Tuhanku, setiap kali aku katakan kepada mereka bahawa Tuhan bukanlah suatu Dzat yang dapat dilihat, mereka tidak percaya, kerana itu, sampaikanlah kepada mereka. Namun nabi Musa (a.s) berkata: Tuhanku, perlihatkanlah diri-Mu padaku sehingga aku dapat melihat Mu. Maka jelaslah di sini bahawa permintaan Nabi Musa untuk dirinya sendiri. Namun apakah penglihatan ini dengan mata kasar? Sudah tentu tidak, kerana kedudukan Nabi Musa (a.s) tidak mengizinkan kita untuk menyimpulkan hal tersebut secara rendah dan sederhana. Oleh itu, dengan memperhatikan ayat-ayat lain dari al-Qur’an al-Karim yang menyampaikan bahawa ada satu model penglihatan, pertemuan dan pengawasan yang disandarkan kepada Tuhan, maka harus dikatakan bahawa: yang dimaksudkan oleh Nabi Musa (a.s) adalah penyaksian hati (syuhud qalbi) dan penglihatan secara batin. Kemudian Tuhan pun menjelma yang menakutkan ke atas gunung, dan gunung itu pun hancur. Hal tersebut untuk menjelaskan kepada  Nabi Musa (a.s) bahawa bertemu Tuhan, melihat dan menyaksikan Tuhan secara sempurna di dunia ini merupakan hal yang tidak mungkin terjadi dan selama roh ini masih terpenjara dalam kerangka badan, pertemuan seperti ini adalah sesuatu yang mustahil. Nabi Musa (a.s) juga bertaubat atas permintaan yang tidak sepatutnya beliau sampaikan.

Jawaban Detil

Jawapan atas soalan ini dapat disampaikan dengan dua pandangan:

 

Pertama: Pandangan teologi

Di dalam bidang teologi telah dibuktikan bahawa Tuhan tidak dapat dilihat; kerana sesuatu itu akan dapat dilihat apabila berupa material, berbentuk, memiliki tempat, berada pada arah tertentu dan ada sepercik cahaya yang menerangi mata sehingga dapat terlihat. Sudah jelas bahawa Tuhan bukan berupa material dan berbentuk serta juga tidak memiliki tipologi material. Dengan demikian Dia tidak dapat dilihat. Hal itu sebagaimana firman Allah (s.w.t) di dalam Al-Quran: “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan. Dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui”.(Qs. Al-An’am [6]:103)

Kerana itu, ahli teologi dalam memberikan alasan tentang permintaan Nabi Musa (a.s) berkata: Ketika Nabi Musa (a.s) meminta untuk dapat melihat Tuhan, sebenarnya beliau benar-benar sedar dan tahu akan persoalan tersebut bahawa Tuhan bukanlah Dzat yang dapat dilihat, akan tetapi kaum Bani Israel yang senantiasa memohon untuk dapat bertemu dengan Tuhan. Akibat permohonan tersebut mereka ditimpa azab dan akhirnya mereka meminta kepada Nabi Musa (a.s) agar ia memohon untuk dirinya dapat melihat Tuhan. Musa (a.s) pun memohon untuk dapat melihat Tuhan. Untuk penjelasan ini, disebutkan beberapa bukti dari ayat-ayat Al-Quran. Dalam surah al-Baqarah (2) ayat 55 Allah (s.w.t) berfirman: “Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: “Hai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang”, kerana itu kamu disambar halilintar, sedangkan kamu menyaksikannya.” Sambaran halilintar dan azab ini adalah dikeranakan Bani Israel memohon kepada nabi Musa (a.s) agar meminta untuk dirinya sendiri dapat melihat Tuhan, dan terpaksa juga Musa meminta hal yang demikian agar supaya Tuhan sendiri yang menjawab penolakan bahawa Tuhan bukanlah sesuatu yang dapat dilihat dengan mata dan kaumnya pun menjadi puas.[1]

 

Kedua: Pandangan falsafah atau irfan

Lain halnya dengan pandangan sebagian ulama dan mufassir seperti Allamah Thabatabai (r.a). Beliau menganalisa permohonan Nabi Musa (a.s) ini dengan pandangan yang berbeza dan meyakini bahawa Nabi Musa (a.s) sama sekali tidak pernah mengajukan permohonan yang sangat rendah ini, walaupun hal tersebut datang dari kaumnya. Sebagaimana ia berkeras menentang permohonan mereka dalam penyembahan berhala, dan sama sekali tidak mengindahkan permohonan mereka.

Dalam surah al-‘Araf Allah (s.w.t) berfirman: “Bani Israel berkata: “Hai Musa, buatlah untuk kami sebuah Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa Tuhan (berhala)”. Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang tidak mengetahui (sifat-sifat Tuhan)”. (Qs. Al-A’raf [7]:138)

Dengan demikian, permohonan melihat dengan mata zahir yang datang dari nabi Musa (a.s) (sebagai salah seorang daripada lima nabi yang memiliki kedudukan ulul azm) tidak dapat diterima walaupun hal itu disebabkan oleh desakan kaumnya.

Atas dasar itu,pasti ada persoalan lain yang dipandang oleh Nabi Musa, iaitu masalah pertemuan dan persuaan dengan Tuhan sebagaimana hal ini telah disinggung dalam sebagian ayat-ayat Al-Qur’an. Dalam surah al-Qiyamah (75) ayat 22-23 Allah (s.w.t) berfirman: “Wajah-wajah(orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat”. Atau dalam surah al-Kahfi ayat 110 Allah (s.w.t) berfirman: “Barang siapa yang mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”.

Pandangan dan pertemuan ini, sudah pasti bukan dengan pandangan mata kasar. Agar mudah dicerna oleh akal, hal itu dapat disamakan dengan ilmu yang tersimpan di dalam jiwa kita dan pengetahuan-pengetahuan gerak hati kita yang kita gambarkan dengan melihat dan memandang, misalnya kita berkata: “Saya sendiri melihat bahawa saya suka dengan sesuatu atau saya membenci sesuatu itu”. Pandangan seperti ini merupakan daya cerap dan rasa yang dengan perantara itu, Dzat (esensi) dan hakikat sesuatu itu dapat dicerna dan difahami tanpa harus menyertakan penglihatan mata ataupun fikiran dalam mencerna atau memahami hal tersebut.

Dengan demikian penglihatan atau pandangan terhadap Tuhan yang dijelaskan oleh al-Qur’an di mana para ahli suluk dan insan yang sempurna diajak untuk bertemu dengan-Nya, adalah penglihatan cara gerak hati dan syuhud qalbi iaitu pandangan dengan roh, (bukan dalam batasan alam material dengan mata zahir, bukan juga dalam batasan alam imaginasi dengan mata khayalan dan bukan dalam batasan akal dengan pemahamannya yang terbatas) akan tetapi dapat dilihat dalam hati dengan penampakan intuitif (mengikut gerak hati). Sudah tentu darjat intuisi (gerak hati) ini pun tergantung pada darjat para pemilik hati di mana satu dengan lainnya berbeza-beza dan setiap orang dengan kadar keberadaannya akan menyaksikan Tuhan, keindahan dan keagungan-Nya. Sebahagian yang lain, yang tercemar dengan dosa dan terhalang oleh hijab, meskipun mereka tidak dapat melihat secara intuitif keindahan (jamâliyah) dan kelembutan Tuhan, akan tetapi mereka dapat menyaksikan keagungan (jalâliyah), kemurkaan dan pembalasan Ilahi.

Tiada tirai yang membatasi keindahan selain sifat keagungan

Tiada topeng di atas muka ini, tiada kulit di atas kepala ini.

Kerana jika terdapat tirai, hal itu datang dari sisi insan, dan penghalang tersebut tidak lain kecuali dosa, ego dan bergantung pada selain Tuhan. Imam Ridha (a.s) pernah ditanya: mengapa kita tidak (dapat) melihat Tuhan? Beliau bersabda: “Dosa-dosa kalian yang menghalangi”.[2]

Keindahan teman tidak memiliki topeng dan penghalang

Namun debu menunjukkan jalan sehingga mampu memandang.

Jika hijab keakuanku (ego) tersingkap dan seseorang sampai pada jenjang fana melihat, maka akan mudah baginya untuk menyaksikan dan bertemu Tuhan.

Jiwa manusia adalah bagaikan udara

Kerana membumbung dan menyatu menjadi bentangan langit

Hingga terhalang ia dari pandangan sinar matahari

Kerana gumpalannya lenyap menjadi bersih dan murni

Dengan kesempurnaan petang kebenaran menjadi nyata

Sampai menjadi petunjuk keselamatan.[3]

Dapat dipastikan bahawa pemahaman dan penglihatan sempurna intuisi yang disandarkan kepada Tuhan adalah merupakan hal yang mungkin dapat terjadi di “dunia” dan di “akhirat” bagi“orang-orang soleh”. Sudah tentunya di dunia ini, dikeranakan roh insan itu terikat dengan badan dan perhatian terhadap keistimewaan-keistimewaan alam material dan memenuhi keperluan-keperluannya walaupun lemah dan sedikit, maka kemungkinan penglihatan seperti ini tidak dapat diraih. Namun di akhirat kelak, roh tidak lagi disibukkan untuk mengatur badan dan ia bebas. Di akhirat penutup-penutup ini juga akan diangkat dan seorang mukmin yang soleh akan hadir di haribaan Tuhan dan menyaksikan keindahan dan keagungan Tuhan dan bertemu dengan-Nya dan memandang pada wajah Allah (s.w.t).

Oleh kerana itu, permohonan Nabi Musa (a.s) kepada Tuhan dapat difahami sebagai penglihatan intuisi secara sempurna dan pandangan yang seutuhnya; iaitu nabi Musa menghendaki bahawa penglihatan dan pertemuan seperti ini dapat ia alami di dunia ini. Tuhan menjelaskan kepadanya bahawa penglihatan dan pemahaman seperti ini untuk mu di dunia ini, tidak akan tercapai dan kamu tidak mampu untuk memahami hal ini.

Peristiwa permintaan ini dan penolakan hal tesebut, dijelaskan oleh Allah (s.w.t) dalam surah al-A’raf (7) ayat 143: “Dan tatkala Musa datang untuk(bermunajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau”. Tuhan berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap ditempatnya (sebagai sedia kala) nescaya kamu dapat melihat-Ku”. Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku termasuk orang yang pertama beriman”.

Untuk menjelaskan kepada Musa (a.s) bahawa ia tidak mampu menanggung perjumpaan dan penjelmaan Tuhan, Dia menjelmakan dzat dengan keagungan-Nya pada gunung yang ada di hadapan Musa dan gunung yang kukuh itu pun hancur lebur dan Nabi Musa (a.s) pun terpelanting, pengsan dan jatuh di atas permukaan tanah; walaupun Nabi Musa (a.s) telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang sangat agung dari Allah (s.w.t), dan termasuk daripada kalangan Hamba-hamba-Nya yang ikhlas, sebagai utusan Allah dan nabi-Nya: “Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka), kisah Musa di dalam Al-Kitab (Al-Qur’an) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang yang dipilih dan seorang rasul dan nabi. (Qs. Maryam [19]:51) Namun tajalli (penjelmaan) Ilahi ini telah membuat Musa (a.s) tidak sedarkan diri. Dan setelah ia sedar, ia langsung bertaubat dari permohonan yang ia panjatkan dan mempercayai bahawa melihat Tuhan di alam material walaupun secara intuitif adalah hal yang mustahil.

Allamah Thabathaba’i berkata: “Terkapar dan pengsannya Nabi Musa (a.s) bukan disebabkan rasa gementar dan takut akibat pemandangan hancurnya gunung atau takut dikeranakan jiwanya tidak siap untuk menyaksikan hal tersebut, ini disebabkan Musa adalah seorang nabi yang menjatuhkan tongkatnya sekejap kemudian menjadi ular besar dan memakan ular-ular atau tali-tali para penyihir dan dia adalah seorang yang telah membelah laut dan menenggelamkan beribu-ribu orang para pengikut Fir’aun, dan dia adalah seorang yang gunung terangkat dari akarnya dan bagaikan sebuah bayangan terjaga di atas kepala Bani Israel. Oleh kerana itu, bagaimana mungkin hatinya kecut dan takut hanya dikeranakan hancurnya sebuah gunung walaupun tampaknya ia sudah tahu sebelumnya bahawa ia tidak akan celaka dalam penjelmaan ini dan Tuhan berkehendak ia selamat sehingga dapat menyaksikan penjelmaan Tuhan terhadap gunung. Dengan demikian, dapat diketahui bahawa ada hal lain selain hancurnya gunung yang membuat keadaan Musa sedemikian rupa. Seakan-akan dalam suasana tersebut, di dalam permohonannya, baginya “kemarahan Tuhan” telah terwujud dan telah ia saksikan, maka dari situlah ia merasakan keadaan yang aneh sehingga sekejap saja ia tidak dapat menggerakkan tubuhnya dan berdiri tegak di atas kakinya. Dan permohonan ampun yang ia panjatkan setelah pulih kesedarannya adalah sebagai saksi dari pengertian ini.

Maka, kesimpulan dari jawapan ini adalah bahawa Nabi Musa (a.s) yang meminta agar dapat melihat Tuhan secara intuitif dengan sempurna sahaja mendapat kemarahan Tuhan; apatah lagi dengan penglihatan intuisi orang-orang yang disibukkan dengan urusan dunia, sudah pasti tidak mungkin terjadi. Dan permintaan kamu seperti ini di dunia, adalah sebuah permintaan yang tidak layak dan tidak tepat sama sekali.[4]

Untuk menyempurnakan pembahasan, akan kami sebutkan beberapa riwayat dari para Imam Maksum (a.s) mengenai pembahasan ini:

Seseorang bertanya kepada Amirul Mukminin (Ali a.s): “Apakah engkau melihat Tuhanmu? Beliau menjawab: “Aku sama sekali tidak akan menyembah Tuhan yang aku tidak melihat-Nya. Dan setiap mata tidak akan dapat melihatnya, akan tetapi setiap hati -dengan hakikat iman- dapat melihatnya”.[5]

Imam Shadiq (a.s) berkata: “Karrubin, adalah kelompok pertama syiahku yang Allah ciptakan... jika cahaya salah seorang dari mereka dibahagikan kepada penduduk bumi, maka akan dapat meliputi seluruh penduduk bumi dan mereka menjadi pemilik cahaya tersebut. Ketika itu beliau berkata: Musa (a.s) setelah memohon kepada Allah (s.w.t), Allah (s.w.t) memerintahkan salah satu dari “Karrubiin” untuk menjelma, dan penjelmaan yang dilakukan terhadap sebuah gunung itu adalah penjelmaan salah satu dari “Karrubin” sehingga gunung itu hancur”.[6]

Allamah Thabathaba’i memiliki penjelasan menarik atas riwayat ini, beliau berkata: “Dari riwayat tersebut dapat diertikan bahawa penjelmaan Tuhan juga dalam segala urusan yang disandarkan kepada-Nya dapat dialihkan seperti: pencabutan nyawa, menghidupkan, memberikan rezeki, penurunan wahyu dan lain-lain. Sebagaimana pencabutan nyawa diwakili oleh malaikat maut, dan menghidupkan orang-orang yang mati diambil alih oleh pemilik terompet dan pemberian rezeki melalui Malikat Mikail, dan penurunan wahyu dipegang oleh malaikat Jibrail, maka penjelmaan juga direalisasikan oleh salah satu dari para malaikat (Karubin). [7]

Dari penjelasan tersebut dapat diambil kesimpulan bahawa erti dari penjelmaan Tuhan kepada gunung adalah bukan bererti bahawa Tuhan menampakkan dzat-Nya pada gunung tersebut atau cahaya keluar dari Dzat-Nya sehingga dengannya gunung itu lebur, atau Tuhan mengirimkan halilintar atau gempa bumi, atau tanda dan mukjizat yang keluar dari sisi Tuhan, sebagaimana dijelaskan oleh sebahagian kitab-kitab tafsir.[8] Akan tetapi penjelmaan Tuhan itu melalui perantara yang dengan perantara tersebut, terjadi penjelmaan itu.

Imam Kazim (a.s) berkata: “Tiada penghalang antara Tuhan Yang Maha Suci dan Agung dengan makhluk-Nya kecuali makhluk-Nya itu sendiri[9]

Dari sisi inilah Imam Zainal Abidin, Ali bin Al-Husain (a.s) meyakini bahawa melihat Yang Maha Haq adalah merupakan hajatnya[10] dan memandang pada dzat yang dicintai dan bertemu dengan Ilahi adalah sebagai buah mata hati orang-orang yang merindukan dan mencintai Dzat Yang Maha Suci.[11]

 

Rujukan untuk telaah lebih jauh:

1.     Abdullah Jawadi Amuli, Tafsir Maudui Qur’an Karim, jil. 7, hal 135-156.

2.     Zamakhsyari, Kasyaf, jil. 2, dalam penjelasan ayat 143 surah al-A’raf.

3.     Ja’far Subhani, Ilahiyat, jilid 2.

4.     Shaduq, Tauhid, bab ma jâ’a fi arruyah.

5.     Muhammad Husain Thabathaba’i, al-Mizan fi Tafsiril Qur’an (atau terjemah tafsir al-Mizan) dalam penjelasan ayat yang dibahas, jil. 8.

6.     Fakhrurrazi, Tafsir al-Kabir, jil. 14, hal 227-249.

7.     Muhammad Taqi Misbah Yazdi, Ma’âriful Qur’ân, 1-3, hal 26-47 dan 88-96.

8.     Nasir Makarim Syirazi, Tafsir Nemuneh, berkaitan dengan penjelasan ayat yang dibahas, jil. 6, ayat 155 dan juga jilid 1, hal ayat 56 surah al-Baqarah (2).



[1]. Ja’far  Subhani, Ilahiyat, jil. 2, hal 136, Markazul ilmi Liddirasatil Islamiayah, Qom, Iran, cetakan 4, tahun 1413 H Q; Makarim Syirazi, Nasir, Tafsir Nemuneh,  jil. 6, hal 356, Darul kutub al-Islamiyah, Qom.

[2]. Abdullah Jawadi Amuli, Tafsir Maudu’i Qur’an Karim, jil. 7, hal 143.

[3].  Matsnawi, Rumi, buku 4, bait 2484- 2486.

[4] Terjemah Tafsir al-Mizan (Persia), jilid 8, hal 330-350

[5]. Ibid, hal 368. Nahj al-Balagah, khutbah 179.

[6].  Terjemah Tafsir al-Mizan (Persia), jilid 8 hal 377.

[7]. Ibid.

[8]. Nasir  Makarim Syirazi, Tafsir Nemuneh, pada perbahasan ayat jilid 6, hal 356 dan seterusnya.

[9].  Shaduq, Tauhid, bab nafyul makan waz zaman... juz 12

[10].  Munâjat Khomsati Asyar, Munâjatu Muridin dan Munâjat al-‘Ârifin, yang dapat dijumpai pada kitab doa Mafatih al-Jinan.

[11]. Ibid, Munâjat al-Arifin.

Opini
Bilangan komen 0
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Pertanyaan-pertanyaan Acak

Populer Hits