Please Wait
17675
Redaksi syaitan dan jin dalam beberapa kali disebutkan dalam al-Qur’an, bahkan terdapat satu surah dengan nama Jin telah diturunkan. Syaitan adalah nama umum yang dinisbahkan kepada siapa saja yang telah tergelincir dari jalan yang benar, baik itu manusia atau selain dari kalangan manusia. Iblis juga adalah nama khas dan namanya ialah satu syaitan yang menggoda Nabi Adam (a.s). Hingga saat ini, mereka dan angkatan bala tenteranya berusaha menggoda manusia.
Jin secara bahasa bermakna tersembunyi dan merujuk kepada kewujudan yang penciptaannya adalah daripada api. Jin bahannya dari material, memiliki roh dan badan. Jin memiliki taklif dan kerana itu mereka boleh menjadi mukmin atau kafir dan sebagainya.
Sebahagian orang, pemikiran mereka penuh dengan gambaran, imaginasi dan kisah-kisah melampau tentang jin yang mereka percaya secara keseluruhannya. Sementara itu mereka bercanggah dengan kelompok yang sama sekali mengingkari kewujudan jin. Bahkan peristiwa-peristiwa benar mereka anggap tidak lebih dari kisah dongeng dan khurafat.
Dari beberapa ayat dan riwayat dapat disimpulkan bahawa bangsa jin adalah makhluk yang kuat. Sebagai contoh dalam surah an-Naml, ayat 30 dimana dalam surah tersebut Nabi Sulaiman (a.s) tidak mengingkari pernyataan jin Ifrit. Tapi harus diperhatikan bahawa hal ini tidak dapat disimpulkan bahawa jin dapat melakukan segala hal, apalagi hal-hal yang dapat membuat seseorang menjadi syirik. Sebab sebagaimana kita ketahui bahawa tidak ada satu pun makhluk yang boleh melakukan sesuatu kecuali mendapatkan izin dari Allah (s.w.t). Oleh kerana itu kekuatan syaitan dalam menyesatkan atau menggelincirkan hanya dapat terlaksana bagi orang-orang yang keluar dari wilayah penghambaan dan tauhid, dan mereka yang lebih memilih bisikan-bisikan syaitan. Sebagaimana syaitan sendiri yang menyatakan bahawa saya tidak memiliki kekuasaan terhadap hamba-hamba yang mukhlas.[i] Selain itu wilayah syaitan terhadap manusia hanya dalam batasan was-was atau bisikan semata, dan tidak sampai menghilangkan ikhtiar yang ada pada manusia. Ini disebabkan syaitan adalah wujud mitsāli dan khiyāli yang tidak akan pernah sampai kepada makam mukhlas iaitu makam akli atau makam manusia sempurna. Ketaatan manusia kepada nafsu ammarah akan memberikan jalan kepada syaitan untuk mendominasi manusia, kemudian secara perlahan-lahan manusia akan jatuh ke dalam perangkap syaitan. Akhirnya manusia akan terjerumus di jalan kesesatan. Satu-satunya jalan agar dapat terhindar dari bisikan dan was-was syaitan adalah perhatian penuh kepada Tuhan dan mengerdilkan diri dalam berhadapan dengan Singgasana Tuhan. Allah (s.w.t) berfirman, "Bahawa sesungguhnya engkau tidak akan menguasai hamba-hamba-Ku. Kecuali orang-orang sesat yang mengikutimu." (Qs. Al-Hijr [15]:42)
Pertama-tama kita akan meneliti redaksi syaitan dan jin serta hubungan di antaranya termasuk batasan dominasi syaitan.
Makna perkataan syaitan dan jin, syaitan bermakna menjauhi dan memfitnah. Redaksi syaitan ini diucapkan sebanyak 71 kali secara tunggal dan 17 kali secara jamak dalam al-Qur’an.
Makna dari segi bahasa.
Menurut Thabarsi, Raghib serta Ibn Atsir dan lainnya, huruf “nun“ yang ada dalam redaksi kata “syaitan adalah susunan asli dan termasuk dalam suku katanya, maksudnya bahawa kata “syaitan“ berasal dari “syatana yasytunu“ yang bermakna menjauhi (syatana 'anhu artinya ba'uda). Kerana itu syaitan bermakna menjauhi dari kebaikan.[1] Dari beberapa ayat dan riwayat dapat difahami bahawa syaitan berasal dari bangsa jin.[2]
Harus difahami bahawa syaitan adalah kata umum sedangkan iblis kata khusus. Dalam kata lain syaitan dinisbahkan kepada setiap makhluk yang menyesatkan, thagut dan memfitnah, baik itu dari golongan manusia ataupun selainnya. Sedangkan iblis adalah nama dari golongan syaitan yang menggoda Nabi Adam (a.s) dan saat ini pun mereka dengan bala tenteranya senantiasa menggoda manusia.[3]
Perkataan jin
Perkataan ini disebutkan dalam al-Qur’an sebanyak 22 kali. Jin secara bahasa bermakna tersembunyi. Jin ini diciptakan dari api[4] atau dicampur dengan api.[5] Jin dalam bahasa al-Qur’an diperuntukkan pada sebuah makhluk yang memiliki kesedaran dan iradah, namun dikeranakan tabiat yang ia miliki maka jin tidak bisa ditangkap oleh deria indera manusia. Menurut pengertian lain bahawa dalam keadaan biasa, jin tidak dapat ditanggapi dengan persepsi indrawi. Akan tetapi di sisi lain jin seperti manusia kerana jin juga diberikan tanggungjawab dan ia juga akan dibangkitkan kelak di akhirat. Oleh kerana itu jin boleh taat dan boleh juga bermaksiat, boleh menjadi mukmin dan boleh juga musyrik.[6]
Dalam pandangan Mulla Sadra, “jin adalah sebuah kewujudan yang hidup di alam material dan di alam ghaib atau mitsal, akan tetapi wujudnya di alam ini tidak memiliki material seperti yang dimiliki manusia, namun jin juga diberikan roh dan jiwa. Berkenaan dengan sebab kemunculannya di waktu tertentu hal itu disebabkan bahawa jin memiliki material yang sangat halus dan lembut. Oleh kerana itulah jin dapat memisahkan dan mengumpulkan badannya, dan di saat jin mengumpulkan badannya ia boleh tegak dan dapat disaksikan oleh manusia. Namun tatkala ia memisahkan badannya menjadi sangat halus dan ringan sehingga tersembunyi dari penglihatan manusia. Mirip seperti udara di mana saat ia mengalami penyejatan maka ia dapat disaksikan oleh manusia kerana berbentuk seperti awan, namun di saat terpisah maka akan kembali menjadi sangat halus dan tidak dapat diindrai oleh manusia.[7] Pada hakikatnya jin seperti manusia memiliki roh dan badan, memiliki kesedaran, iradah dan gerak. Sebahagian daripada mereka lelaki dan sebahagian daripada mereka perempuan, mereka berkembang biak, memiliki tugas dan tanggungjawab. Dalam kehidupan mereka ada yang hidup dan mati, dan berlaku juga keimanan dan kekufuran.
Hubungan antara konsep jin dan syaitan
Syaitan dalam makna aslinya adalah sebuah konsep penyifatan yang bermakna busuk atau jahat. Dalam al-Qur’an pun ada mencirikan syaitan seperti itu. Akan tetapi kadang-kadang ia dikhususkan kepada iblis dan kadang kala ia digunakan lebih umum lagi kepada siapa saja yang telah dirasuki sifat jahat tersebut dalam jiwanya, bahkan al-Qur’an menegaskan bahawa syaitan itu boleh jadi daripada jin dan boleh juga daripada manusia.[8]
Di antara golongan syaitan jin terdapat darjat-darjat dalam kesyaitanannya, makam syaitan yang paling tinggi diduduki oleh Iblis. Dalam Al-qur’an banyak dibahas mengenai iblis, salah satu perbahasannya adalah bahawa iblis berasal dari bangsa jin.[9]
Batas dominasi syaitan
Dalam agama Dualis Iran kuno diyakini bahawa Ahriman adalah pencipta segala keburukan dan kejelekan termasuk makhluk-makhluk yang bisa membawa bencana seperti ular, kalajengking dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu boleh jadi ada yang menganggap bahawa syaitan yang disebutkan dalam al-Qur’an sama dengan Ahriman yang ada dalam agama Parsi kuno. Tapi tentunya anggapan ini adalah anggapan yang salah kerana jin dan syaitan sama sekali tidak berperanan dalam penciptaan. Pencipta segala sesuatu adalah Allah (s.w.t). Tidak ada sesuatu pun kecuali Allah (s.w.t) yang mampu untuk menciptakan dan memelihara. Al-Qur’an dalam menolak anggapan tersebut berkata, “Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sekutu bagi Allah, padahal Allah-lah yang menciptakan jin-jin itu, dan mereka membohong (dengan mengatakan) bahawasanya Allah mempunyai anak laki-laki dan perempuan, tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan“. (Qs. Al-An'am [6]:100)
Batas pengaruh syaitan adalah memberikan was-was dan mengajak[10] serta menunjukkan sesuatu yang seolah-olah baik padahal hakikatnya buruk, begitu juga sebaliknya. Hanya ini saja batasan pengaruh syaitan terhadap manusia dan tidak ada satupun makhluk yang dapat memaksa seseorang untuk mengerjakan sesuatu. Oleh kerana itu apa pun yang dikatakan oleh Al-qur’an berkenaan dengan perbuatan jin maka ia akan kembali kepada prinsip di atas.[11]
Tentunya baik malaikat mahu pun jin masing – masing memiliki kekuatan dan masing – masing memiliki kemampuan untuk turun kepada manusia. Turunnya malaikat tidak hanya berlaku pada kaadaan ihtidhar (kesedaran ilahiyyah ), akan tetapi siapa pun yang mengucapkan “Allahu Akbar” dalam keadaan berdiri maka malaikat akan turun kepadanya.[12] Demikian pula dengan jin memiliki kekuatan tertentu yang terbatas. Salah satu kekuatannya jin mampu mengerjakan pekerjaan dengan cepat secara luar biasa. Walaupun jin dari perspektif kekuatan pemikiran adalah lemah namun kekuatan geraknya luar biasa. Jin dapat memindahkan batu yang sangat berat dalam waktu yang sangat singkat. Akan tetapi pencerapan akalnya sangat lemah dan paling maksimum pencerapannya hanya boleh sampai pada tahap imaginasi dan delusi (wahm). Tentang jin yang hidup di alam material boleh kita perolehi dari al-Qur’an. Dalam cerita Nabi Sulaiman (a.s) ketika jin Ifrit mengatakan bahawa ia dapat memindahkan Istana Balqis sebelum Nabi Sulaiman (a.s) bangkit dari tempatnya.[13] Nabi Sulaiman (a.s) tidak menafikan kekuatan jin tersebut, walaupun tidak ditegaskan dalam al-Qur’an apakah jin tersebut memindahkannya atau tidak.[14] Jin dan syaitan-syaitan dari golongan jin mungkin juga boleh mendengari al-Qur’an dan melakukan hal-hal lain.
Cara syaitan menggoda
Syaitan boleh menyerang manusia dengan berbagai cara, kadang-kadang dari depan, kadang kala dari belakang, dari kanan dan kiri. Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an: “Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka.“ (Qs. Al-A'raf [7]:17)
Pekerjaan yang paling penting yang dikerjakan syaitan setelah mendekati manusia ialah mendominasi fikiran dan imaginasi manusia.[15] Pada hakikatnya syaitan memiliki beberapa tempat penyerangan dan dalam kesempatan kali ini akan kami angkat beberapa hal tersebut:
1. Syaitan kadang-kadang menyerang dalam wilayah kepatuhan sehingga mengeluarkan manusia dari wilayah ketaatan. Syaitan berusaha agar manusia beramal, namun tidak berdasarkan wahyu, bahkan menuruti kehendak (hawa nafsu) sendiri. Padahal dalam wilayah ketaatan, manusia adalah hamba Tuhan di mana seluruh perbuatannya dilakukan berdasarkan wahyu.
2. Kadangkala syaitan menyerang wilayah akal. Syaitan berusaha agar supaya manusia tidak berfikir dengan menggunakan burhan dalam hal-hal yang berkaitan dengan ketuhanan, agar manusia cukup meyakininya saja. Dalil yang kurang sempurna syaitan tunjukkan kepada manusia seolah-olah dalil tersebut adalah dalil yang sempurna agar manusia jauh dari pemikiran yang murni.
3. Terkadang syaitan menyerang wilayah penyingkapan (syuhud). Manusia mampu menyaksikan alam rububiyyah sebagaimana adanya dengan hati dan tanpa diperantarakan lafaz, fahaman dan dalil-dalil. Syaitan akan menyerang manusia dalam wilayah syuhud agar manusia tidak dapat menyaksikan realiti sebagaimana adanya (as it is) atau bahkan mempengaruhi manusia untuk tidak meyakini apa yang manusia saksikan. Pada hakikatnya usaha pertama syaitan adalah mempengaruhi manusia dalam penyaksiaannya, kemudian pada pemikirannya dan baru masuk ke wilayah amal perbuatan.[16]
Dari beberapa ayat dan riwayat oleh para maksumin (a.s) kita dapat menyimpulkan bahawa syaitan dan bala tenteranya hanya dapat mempengaruhi dan menggoda orang-orang yang telah keluar dari wilayah ketaatan atau penghambaan kepada Tuhan. Tentunya kerana kelalaiannya pula mereka menyembah diri dan hawa nafsunya, dan pada akhirnya memberikan ruang pada syaitan untuk mempengaruhinya. Namun jika seseorang hamba benar-benar soleh dan mukhlas maka ia aman dan selamat dari godaan syaitan. Sebagaimana yang di jelaskan dalam al-Qur’an bahawa syaitan tidak mampu untuk menggoda orang-orang yang mukhlas, “Iblis menjawab, “Demi kekuasaan-Mu, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlas (yang benar-benar ikhlas ) di antara mereka."
Oleh kerana itu syaitan hanya boleh sampai pada alam mitsal dan alam barzakhi, namun syaitan tidak akan dapat menembus sampai pada alam akal. Hal inilah yang membuat syaitan tidak dapat mempengaruhi manusia sempurna (insan kamil) dan hamba yang mukhlas, ini disebabkan syaitan tidak sampai pada makam akal. Baik itu dalam akal teori maupun dalam akal praktikal. Akan tetapi syaitan dapat menembus alam setelahya iaitu pada alam mitsal dan alam materi. Syaitan sentiasa menyerang manusia dan sangat iri hati terhadap manusia yang sempurna.
Orang-orang awam sering membuat cerita-cerita rekaan tentang jin yang sama sekali tidak sesuai dengan akal dan logik. Misalnya jika ada orang yang membuang air panas maka akan membuat rumah-rumah jin terbakar, akibatnya jin akan marah dan akan mengganggu orang tersebut. Hal ini sungguh jauh dari logik. Namun jika kita dapat menjauhkan cerita-cerita rekaan tersebut maka kita akan mengetahui hakikat jin yang sebenarnya. Berkenaan dengan mereka yang mengingkari jin kita boleh mengatakan kepada mereka bahawa tidak ada dalil sama sekali untuk membuktikan sebuah tanggapan yang menganggap bahawa kewujudan ini hanya meliputi kepada sesuatu yang di capai panca indera semata-mata, bahkan kewujudan yang tidak dapat dilihat darjatnya lebih banyak. Salah satu riwayat dari Rasulullah (s.a.w), "Allah (s.w.t) menciptakan jin dengan lima golongan. Satu golongan seperti angin di udara (tidak dapat dilihat dengan mata kasar), satu golongan seperti ular, satu golongan seperti kalajengking, satu golongan seperti serangga, dan satu golongan laksana Bani Adam Adam yang terdapat perhitungan dan balasan pada mereka."[17]
Seperti yang dinukil oleh sejarah bagaimana orang-orang menceritakan tentang jin, mulai sejak dahulu hingga sekarang. Kita akan melihat bahawa cerita-cerita tersebut dipenuhi dengan cerita-cerita tahyul. Akhirnya terdapat sebahagian orang yang mengingkari kewujudan jin. Mereka menganggap bahawa jin hanyalah tahyul semata-mata yang sengaja dibuat oleh orang-orang tertentu. Di sisi lain ada juga orang yang menceritakan jin dengan melampaui batas. Keduanya kelompok tersebut jatuh pada dua titik ekstrim. Agama Islam menjelaskan dan membuktikan hakikat keberadaannya serta membersihkan pemahaman manusia tentang jin yang banyak dicampur dengan cerita-cerita tahyul. Oleh kerana itu dalam al-Qur’an terdapat surah khusus berkenaan dengan jin.[18]
Perlu kami ingatkan bahawa dalam sistem alam semesta, baik itu malaikat, jin dan manusia dan seluruh kewujudan yang dilihat dengan mata kasar atau tidak semuanya berasal dari Tuhan. Semua makhluk akan memberikan pengaruh hanya jika mendapatkan izin daripada Allah (s.w.t), tentunya dengan batasan yang dimiliki oleh makhluk itu sendiri.
Dalam al-Qur’an Tuhan sentiasa mengingatkan kita bahawa sebab-sebab material dan sebab-sebab non-material tidak ada yang bebas dan tidak bergantung. Kehidupan, kematian, untung dan rugi semuanya berada dalam kuasa Ilahi. Oleh kerana itu kita harus sentiasa mengingat-Nya dalam seluruh keadaan dan bertawakkal kepada-Nya serta memohon perlindungan kepada-Nya. Jika kita mampu melakukannya maka tidak satupun makhluk yang akan mampu menghancurkan kita, sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an, “Sedang pembicaraan itu tidaklah memberi mudarat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah." (Qs. Al-Mujadilah [58]:10)
Allah (s.w.t) sentiasa memperingatkan manusia untuk menjauhi syaitan daripada kalangan jin mahu pun daripada golongan manusia. Allah (s.w.t) berfirman, "Jangan sekali-kali kalian mendekati mereka, syaitan adalah musuh Allah dan musuh kalian yang sangat jelas." Syaitan pun telah berjanji bahawa mereka akan menggelincirkan manusia. akan tetapi kekuatan syaitan terbatas hanya dalam membisikkan atau mewas-wasi manusia dan syaitan sama sekali tidak mampu untuk menghilangkan ikhtiar manusia. Pusat pemikiran syaitan pada nafsu ammarah, oleh kerana itu nafsu ammarah sebagai faktor utama sehingga syaitan dapat mempengaruhi manusia. sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-qur’an, “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat nadinya.“ (Qs. Al-Qaf [50]:16) Dalam ayat yang lain Allah (s.w.t) berfirman, “Bahawa sesungguhnya engkau tidak akan dapat menguasai hamba-hamba-Ku, kecuali orang-orang sesat yang mengikutmu." (Qs. Al-Hijr [15]:42)
Sumber untuk telaah lebih jauh:
1. Gharāib wa 'Ajāib al-Jin, Badaruddin bin Abdullah as-Syabli, diterjemahkan dan diulas oleh Ibrahim Muhammad Al-jamal.
2. Jin wa Syaita, Ali Ridha Rijali, Nasyr-e Nubugh.
3. Al-Jin fi al-Kitāb wa al-Sunnah, I’dad Zaribn Syahzuddin, Beirut, 1996.
4. Al-Jin fi al-Qur’ān wa al-Sunnah, Abdul Amir ‘ala muhanna, beirut, 1992.
5. Al-Jin bain al-Isyārat al-Qarāniyah wa ‘ilm al-Fiziya, Abdurrahman Muhammad al-Rifa’i. 1997.
6. Indeks: Syaitan, dari golongan malaikat atau jin?
[1]. Sayyid Ali Akbar Qarasyi, Qâmus al-Qur’ân, klausul sya-t-n
[2]. "Aku sekali-kali tidak menghadirkan mereka (iblis dan anak cucunya) untuk menyaksikan penciptaan langit dan bumi dan tidak (pula) penciptaan diri mereka sendiri; dan tidaklah Aku mengambil orang-orang yang menyesatkan itu sebagai penolong." (Qs. Al-Kahfi [18]: 51)
[3]. Makarim Syirazi, Tafsir Nemuneh, jil. 29, hal. 192.
[4]. "Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas." (Qs. Hijr [15]: 27)
[5]. "Dan Dia menciptakan jin dari nyala api." (Qs. Al-Rahman [55]:15)
[6]. Qamus al-Qur’an, klausul j-i-n
[7]. Ibrahim Ababsi, Dustan-e Syegift Angiz-e darbare Din, hal. 25.
[8]. "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin; sebagian mereka membisikkan kepada sebagian yang lain perkataan-perkataan yang indah menawan untuk menipu (manusia). Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya (dan Dia pasti mencegah mereka). Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan. " (Qs.Al-An’am [6]:112)
[9]. "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam.” Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, lalu mendurhakai perintah Tuhannya." (Qs. Al-Kahfi [18]:50)
[10]. "Dan syaitan berkata tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan, “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu, tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyerumu, lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh sebab itu janganlah kamu mencercaku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri." (Qs. Ibrahim [14], 22
[11]. Kamus al-Qur’an, klausul syai-t-an
[12]. "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan kepadamu." (Qs. Fusshilat [41]:30)
[13]. Lihat Qs. an-Naml (27):30-40.
[14]. Abdullah Jawadi Amuli, Tafsir-e Mau'dhui, jil. 1, hal. 119.
[15]. Abdullah Jawadi Amuli, Tasnim, jil. 3, hal. 393
[16]. Abdullah Jawadi Amuli, Tafsir Maudhui', jil. 12, hal. 400.
[17]. Nasir Makarim Syirazi, Tafsir Nemuneh, jil. 29 hal. 157. Bihâr al-Anwâr, jil. 60, hal. 268
[18]. Sayyid Quthub, Tafsir fi Zhilâlil Qur’ân, jil. 6 , hal. 27 - 28